Luahan hati Siti
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
MENGAMATI keseluruhan lagu dendangannya, jelas menggambarkan perasaan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, yang ketika ini sedang berada di puncak cinta.
Memang tidak menghairankan, hanya tinggal 19 hari saja lagi Siti bakal bergelar isteri apabila memilih ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, sebagai suaminya.
Pasangan duda dan dara ini akan diijabkabulkan pada 21 Ogos di Masjid Wilayah Persekutuan, diikuti majlis persandingan 28 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tempat sama.
Sekian lama mengunci mulut biarpun kisahnya cinta mula dihidu media sejak penghujung tahun lalu, akhirnya Siti mengotakan janji untuk mendedahkan rahsia sanubari dan siapakah gerangan yang bertakhta di hatinya.
Sedangkan selama 10 tahun bergelar penyanyi nombor satu negara jangankan pernah berbicara soal cinta, jauh sekali mempunyai teman lelaki. Namun, Siti sudah cukup dewasa dan matang sekarang untuk menentukan arah hidup serta kebahagiaannya.
Mengenai persembahan Siti di konsert percuma Malam Bersama Bintang SP Setia di Taman Setia Alam, Meru, Klang, Ahad lalu, penyanyi jelita ini membawakan rangkaian lagu cinta yang semuanya berkait rapat dengan kebahagiaan sedang ditempuhinya.
Menghangatkan suasana menerusi lagu pertama Destinasi Cinta, Siti meneruskan hiburan dengan rangkaian lagu medley, Bukan Cinta Biasa, Dialah Dihati dan Seindah Biasa, antara lagu yang terus menjulang namanya selaku penyanyi paling popular.
Selain berjaya di gelanggang sendiri, nama Siti juga masyhur di Indonesia. Menyedari hakikat dia mempunyai ramai peminat Seberang yang bermastautin di sini, Siti mengambil kesempatan menyanyikan lagu hit di negara itu seperti Teman Tapi Mesra (dendangan asal kumpulan Ratu), Pupus (Dewa) dan Pudar (Rossa) secara medley.
Kalau diamati lirik ketiga-tiga lagu itu ia bagaikan luahan rasa Siti terhadap beberapa lelaki yang pernah dikatakan mempunyai hubungan hubungan istimewa dengannya.
Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan, mungkin ia sekadar andaian atau Siti sememangnya meminati semua lagu itu.
Konsert yang dimulakan jam 8.30 di tapak Taman Rekreasi Setia Alam itu ditontoni lebih 15,000 penonton dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Sambutan meriah ini secara tidak langsung membuktikan Siti belum hilang taringnya.
Sebagai penyanyi profesional yang 10 tahun berpengalaman menguasai pentas, Siti bersiap sedia menyampaikan sebuah lagu Mandarin yang ditujukan khas pengunjung Cina.
Penonton kemudian dibawa pula memperdengarkan lagu tradisional iaitu Nirmala sebelum kembali pada balada rock menerusi Dealova yang dipopularkan Once dari kumpulan Dewa. Siti menyampaikannya dengan penuh perasaan.
Seterusnya, penonton dibuai dengan irama padang pasir menerusi Lagu Rindu. Disangkakan lagu ini terakhir nyanyian Siti apabila mengundurkan diri sejurus persembahan. Nyata, ia sekadar gimik dan apabila jeritan penonton mula kedengaran Siti kembali ke pentas menunaikan hajat peminat yang menantikan lagu hit Biarlah Rahsia yang dipetik dari album terbarunya, Transkripsi.
Pernah menyaksikan persembahannya beberapa kali, namun nyanyian Siti sejak mutakhir ini lebih ?feel?. Dia yang mengenakan sepasang subang dipenuhi juraian bentuk hati juga tidak lagi malu-malu dan tampak gembira menari serta bergelek.
Selain Siti, konsert malam itu dimeriahkan dengan persembahan seorang lagi penghibur tanah air, M Nasir yang turut menyampaikan lagu duet, Dua Insan, bersama Siti.
Penyanyi, pelakon, komposer, penerbit dan pengarah filem yang dikenali dengan perwatakan serius sebelum ini mencuit penonton dengan lawak spontannya.
?Siapa mahu rumah banglo. Kalau mahu anda mesti ikut saya menyanyi. Sekarang saya bahagikan kepada dua kumpulan dan kumpulan yang suara mereka paling kuat akan menerima hadiah berupa rumah banglo.
?Selesai persembahan anda boleh tuntut hadiah dari pemaju kerana mereka sudah berjanji dengan saya,? katanya.
Tempoh 45 minit persembahan bagi setiap artis yang ditampilkan malam itu dimanfaatkan M Nasir untuk membawakan rangkaian lagu lamanya sehinggalah yang terbaru seperti Juwita yang petik dari album terkini, Sang Pencipta.
Konsert ini dianjurkan Pemaju hartanah terkemuka, SP Setia Berhad sebagai acara kemuncak Kumpulan SP Setia Alam meraikan pembukaan Lingkaran Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE)-Setia Alam yang menghubungkan KM3.3 di NKVE ke 7.0 di Jalan Meru, Klang.
Ia juga tanda menghargai pembeli yang memilih Taman Setia Alam yang bertemakan ?Bandar Dalam Dakapan Alam? sebagai lokasi kediaman mereka.
Malah, penganjuran konsert percuma yang membabitkan pelaburan cukup besar ini salah satu cara alternatif untuk menarik minat orang ramai yang merancang memiliki rumah sendiri.
